Monday, January 24, 2011

Yang Pergi.Yang Datang.Yang Berkuasa.

~The Special One~

1) Yang Telah Pergi

Awalnya disambut dengan rasa dingin. Penuh dengan ketidakpuasan hati dan rasa pesimis yang tebal. Walaupun punya reputasi yang biasa-biasa saja, tapi apa yang lebih penting ialah hasilnya. Perlahan-lahan mula terbit rasa yakin dan percaya. Dengan hasil kerja yang mantap serta tidak emosi, beliau mula dihormati, diyakini dan disayangi. Tapi sayang, perbalahan dengan orang tertinggi buatkan dirinya tidak bertahan lama. Pemergiannya ditangisi. 3 tahun yang akan sentiasa dikenang. Dengar khabarnya sudah berbaik dengan yang berkuasa. Masih ramai yang mengharap dan terus berharap yang beliau akan kembali semula.


~Rafa the loser and King not anymore Kenny~

2) Yang Baru Datang

Sebelum diterima, punya reputasi yang boleh tahan hebatnya. Juga punya idea yang seakan-akan boleh diterima. Semua mengharap pada kemasukkannya. Rupanya, indah khabar dari rupa. Prestasi diluar arena bukan jaminan kejayaan. CV berjela bukan satu kepastian yang beliau akan berjaya. Emosi dan sentimen yang tidak terkawal cuma akan binasakan diri. Harapan setinggi gunung, kini menjadi debu. Permulaan yang menyedihkan. Hanya yang emosi sudi melayan mereka yang emosi. Letakkan kedudukan yang asalnya tinggi, kini jatuh ke tahap najis babi. Silap mencari lawan dan silap jalankan peranan. Keparahan yang akan berterusan untuk tempoh yang.....mmm...mungkin agak lama.


~"You..you..you..you fail you know!!!"~

3) Yang Berkuasa

Gelarlah apa saja. Beliau tetap diktator yang paling berkuasa. Dan ya, untuk tempoh yang boleh dikira agak lama. Singkirkan ramai yang tidak selari dengannya dan cuma ambil siapa yang sudi patuh perintah. Sering merasakan beliau disegani walaupun hakikatnya lebih ramai lagi yang benci. Kerap menggunakan sistem pinjaman untuk bolehkan anak didik yang lama melatih anak didik yang baru. Kejayaan yang diraih buat semua yang benci cuma mampu diamkan diri. Susah untuk sedarkan diktator ini, yang sering merasakan diri disukai. Walaupun benci, namun sebahagian daripada kekuatan dan tindakan beliau perlu diakui dan dihormati.

Tuesday, January 4, 2011

Terus-terang

Ada dua kesan utama apabila lahir sebagai anak lelaki tunggal dikalangan adik-beradik perempuan:

1) anda akan jadi seorang yang sopan dan penuh kelembutan
2) anda akan jadi buas nak mampus tanpa ada kawalan

Disebabkan jiwa pemberontak, baran, dan kasar, maka diri jatuh pada kedudukan ke 2. Tak pernah ada rujukan untuk menjadi kanak-kanak lelaki yang baik. Pemberontakan yang berlaku disebabkan emosi dan ketidakpuasan hati kerana menjadi orang yang berbeza daripada yang lain. Pemberontakan yang membentuk karakter diri menjadi seorang yang sensitif, mudah marah dan sentiasa beremosi. Proses pembesaran psikologi yang mengajar untuk membenci orang yang diri mahu jadi. Satu proses penafian atau denial terhadap keadaan sekeliling. Persoalan mengapa diri lain dari yang lain akhirnya melahirkan rasa benci mendalam pada yang lain itu.

Memilih untuk belajar di tempat yang cuma punya satu jenis tandas. Proses kebencian dan penafian sudah berkurangan. Tetapi didalam suasana dimana rasis itu tidak wujud, seksis berkembang mekar. Tak pernah punya teman daripada bahagian yang lain. Barangkali juga kerana tidak ada yang sanggup bertahan. Mulut yang berapi serta sentiasa beremosi, memang tak siapa yang berani dekati. Sedar dengan kebencian yang wujud dikalangan yang lain terhadap diri sendiri. Tapi sentiasa tak pernah mahu ambil peduli. Masih teruskan perkembangan emosi dengan rasa benci.

Mahu teruskan pembelajaran di suasana yang sama, dimana tiada mereka daripada bahagian yang lain. Tapi sayang, diri tidak berkuasa. Maka terpaksa teruskan di tempat beragama. Disini baru kenal hakikat dunia. Baru kenal siapa mereka. Seiring dengan perkembangan sekunder. Rasa kekok dah macam orang gila. Perlahan-lahan belajar untuk buangkan semua rasa. Namun sekali-sekala teremosi juga. Masih terkeluar kata-kata berbisa. Reputasi dibina hancur berderai. Terus dibenci berangkai-rangkai. Kali ini terbit rasa berbeza. Tersedar yang manusia itu tidak sama. Saling perlukan dan bekerjasama.

Kesedaran sebenar cuma bermula, apabila kenal dengan dirinya. Betapa proses pembesaran yang penuh kebencian, emosi dan penafian sebenarnya cuma satu kesilapan. Betapa bahagian yang lain itu punya jiwa yang lembut. Betapa bahagian yang lain itu lebih sensitif. Perlahan-lahan cuba berubah. Tetapi kerana proses kematangan dan pembentukan emosi itu sangat dipengaruhi faktor-faktor awalan, karakter yang wujud masih gagal untuk dibuang. Makanya akan sentiasa ada tahap dimana emosi dan ketidakwarasan fikiran menguasai setiap keputusan. Cuma berharap, kesan pada setiap keputusan tidak sampai putuskan ikatan....